Monday, October 1, 2012


Goldman Sachs, Lehman Bros  

AWAL minggu ini, pasaran saham dunia telah dikejutkan dengan berita mengenai sebuah bank pelaburan yang terkenal di Amerika Syarikat (AS) telah didakwa kerana penipuan. Menurut berita yang disebarkan oleh Goldman Sachs yang pernah dibantu oleh kerajaan AS semasa krisis 2008 dengan pinjaman sebanyak AS$10 bilion (RM32 bilion) didakwa menjual produk berasaskan sub-prima kepada para pelabur dan pada waktu yang sama mengetahui produk itu akan jatuh.
Dalam erti kata lain, Goldman Sachs telah memperdayakan pelabur dengan tidak memberikan maklumat yang lengkap. Kontrak-kontrak sub-prima yang dibungkus oleh bank-bank pelaburan telah dijual kepada pelabur institusi di merata dunia menyebabkan krisis kewangan terbesar sejak keruntuhan ekonomi 1929.
Walau bagaimanapun Goldman Sachs memberitahu para pelabur yang mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan berjanji akan mempertahankan diri mereka di mahkamah. Apa yang membimbangkan pasaran saham dunia adalah kemungkinan pengawal selia di Amerika Syarikat iaitu Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) akan mendakwa bank-bank pelaburan lain yang mungkin juga telah melakukan penipuan kepada pelabur.
Cuba kita bayangkan apa yang berlaku. Di sebuah negara yang begitu maju sehinggakan banyak amalan perniagaan di sana ditiru oleh lain-lain negara tidak dapat mengawalselia apa yang berlaku di pasaran. Salah seorang penasihat Presiden Amerika Syarikat sekarang, Larry Summers berkata, bekas presiden Bush telah membantah pengenalan sebarang peraturan dan undang-undang ke atas pasaran kewangan. Dia dan juga Alan Greenspan, Pengerusi Lembaga Rizab Persekutuan tidak percayakan pembabitan kerajaan kerana percaya pasaranlah yang paling wajar untuk menentukan arah aliran ekonomi sesebuah negara.
Banyak yang dapat kita jadikan teladan daripada apa yang berlaku di AS dan Eropah. Eropah kini sedang bergelut dengan masalah kebankrapan Greece, yang tidak silap lagi ada kaitan dengan pakej-pakej sekuriti yang dijaja dari AS oleh bank-bank pelaburan mereka yang ternama serta agensi-agensi penarafan seperti Moodys yang turut sama menyatakan taraf yang terbaik untuk pakej-pakej tersebut. Pendeknya kerajaan jangan campur tangan, biarkan saja pasaran menentukan pergerakan ekonomi. Apabila mereka yang tidak mampu membayar diberikan pinjaman dan bila gagal membayar, maka seluruh struktur sekuriti yang dijaja runtuh. Sekuriti yang dimaksudkan yang dipanggil derivatif yang berasal daripada perkataan derive from atau 'datangnya daripada' sesuatu komoditi atau sekuriti.
Pihak pengawal selia tidak faham sepenuhnya tentang apakah jenis-jenis derivatif yang digubal oleh bank-bank pelaburan ini yang semuanya diberikan taraf tertinggi oleh agensi-agensi penarafan. Bank pertama bungkus - jual kepada bank kedua, bank kedua bungkus - jual kepada bank ketiga dan seterusnya kepada bank dalam negeri dan luar negeri dengan semua percaya benda bagus akan memberi pulangan tinggi. Apabila produk yang digubal berasaskan gabungan yang lemah dan jatuh, kesannya macam domino jatuh. Sebab itulah, bank-bank luar negara seperti di Eropah dan Britain yang membeli pakej-pakej ini turut sama lingkup. Semuanya pasal tamak yang tidak bertepi. Satu dunia sengsara dibuatnya.
Dalam kes Goldman Sachs ini, Warren Buffet, pelabur terkaya di AS sendiri turut mengalami kerugian.
AS belum keluar lagi daripada kemelut ekonominya walaupun ada pihak-pihak yang cepat mengatakan bahawa kemelesetan telah berlalu. Dengan adanya pendakwaan yang terbaru ini terhadap suatu bank pelaburan yang terkenal di sana, maka kita bakal mendengar bank pelaburan mana lagi yang mungkin didakwa. Sementara itu, Britain dan Jerman juga berjanji akan menyiasat pembabitan Goldman Sachs dengan institusi-institusi mereka. Kalau penyiasatan ini membongkar lagi, maka amalan mengelirukan para pelabur bukan saja di kalangan Goldman Sachs, malah banyak lagi bank-bank lain. Justeru, kita akan berhadapan dengan satu lagi pusingan kemelesetan dan jajarannya akan dirasai di seluruh dunia.
Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, begitu marah dan mengatakan apa yang dilakukan oleh Goldman Sachs ialah suatu 'kebankrapan moral'. Pihak berkuasa Perkhidmatan Kewangan di Britain akan melancarkan penyiasatan ke atas bank pelaburan itu.
Pada waktu yang sama, laporan 2200 muka surat tentang kemuflisan Lehman Brothers, bank pelaburan berumur 150 tahun yang jatuh muflis pada September 2008 lalu yang disediakan oleh penyiasat Lehman, Anton R. Valukas mendapati bahawa Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS tahu akan amalan-amalan yang salah yang dilakukan oleh Lehman tetapi 'hanya mengumpul maklumat dan membiarkan saja'. Dalam temu bual penyiasat ini dengan pengerusi pengawal selia tersebut, pengerusi pada masa itu, Christopher Cox menyatakan bahawa mereka bukan pengawal selia Lehman. Pada waktu Lehman bankrap, asetnya bernilai AS$639 bilion (RM2 trilion) dan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk menyelesaikan hutang piutangnya. Ada yang akan dapat sekecil AS14.70 (RM47.04) bagi setiap Dolar sebagai bayaran. Bila sudah lingkup begitu, pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak akan mengaku bertanggungjawab.
Pada 20 April lalu, ketua pegawai eksekutif Lehman, Richard Fuld terpaksa berdepan dengan panel kongres Amerika yang menyiasat tentang kejatuhan Lehman.
Tidak hairan kalau siasatan tersebut mendapati ramai lagi bank pelaburan lain menggunakan helah akaun yang sama seperti Lehman. Walau bagaimanapun setiap kegagalan akan disiasat ke akar umbi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz283f1Q9cS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment